Sejak peristiwa banjir yang telah berlaku di pantai timur baru-baru ini, ada pihak yang mempersoalkan bagaimana kejadian banjir ini boleh berlaku. Ya, tiap hujung tahun negara kita mengalami musim tengkujuh & kejadian banjir di pantai timur ini memang berlaku saban tahun. Tetapi kejadian banjir kali ini begitu luar biasa. Ada pihak yang menyatakan kejadian ini berpunca daripada aktiviti pembalakan di Lojing, Gua Musang. Dan ada juga pihak yang mengatakan ianya berpunca daripada pihak TNB yang melepaskan air di empangan di stesen janakuasa serta pembinaan empangan janakuasa hidro baru di Tasik Kenyir. Mereka mengatakan pembinaan empangan Kenyir ini adalah satu projek rahsia kerajaan. Ini adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab. Kepada mereka yang tidak tahu fakta sebenar lebih elok jangan bercakap kerana akan menimbulkan fitnah. Sebagai pekerja TNB, saya bertanggungjawab untuk memberikan fakta yang sebenar mengenai kejadian banjir yang berlaku ini. Di bawah ini merupakan kenyataan penuh daripada pihak TNB sendiri.
Tenaga Nasional
Berhad (TNB) hari ini menafikan dakwaan Naib Presiden Pas, Datuk Husam
Musa yang mengatakan TNB punca di sebalik kejadian banjir luar biasa
yang berlaku di Kelantan tahun ini. Menerusi
satu kenyataan media, Unit Komunikasi Korporat TNB berkata, terdapat
berita di media sosial yang membuat tuduhan bahawa pembangunan Projek
Hidroelektrik Hulu Terengganu (juga di kenali sebagai Projek Kenyir
Dua) adalah punca banjir di Negeri Kelantan.
Antara
tuduhan yang dibuat ke atas TNB ialah:
1) Limpahan air dari Projek ini menyebabkan kejadian banjir di Negeri Kelantan
2) Empangan di Projek ini pecah dan menyebabkan banjir di Negeri Kelantan
3) Kerja-kerja pembalakan di kawasan Projek telah menyebabkan kawasan
tersebut gondol dan ini menjadi punca aliran air yang besar ke kawasan
Malik Urai, Kuala Krai & seterusnya ke Kota Bahru.
4) Projek ini dilaksanakan secara rahsia
TNB
tampil menafikan kesemua tuduhan berkenaan dengan memberikan
penjelasan bahawa projek itu terletak di Daerah Hulu Terengganu, di
kawasan hutan simpan Tembat, di bahagian hilir Tasik Kenyir. “Ia
melibatkan pembinaan dua empangan merintasi Sg. Terengganu (Empangan
Puah) dan Sg. Tembat (Empangan Tembat) yang mengalir ke Tasik Kenyir. Kawasan tadahan untuk Projek ini terletak di Terengganu dan dipisahkan daripada Kelantan oleh banjaran gunung.“Oleh
hal yang demikian segala aliran air permukaan (surface run-off)
mengalir ke arah kedua-dua sungai tersebut yang akhirnya akan menjadi
Tasik Puah dan Tasik Tembat apabila Projek ini siap kelak,” katanya.
Menurut
kenyataan itu, air dari Tasik Tembat akan disalurkan melalui terowong
lencongan air ke Tasik Puah dan air ini akan digunakan untuk penjanaan
di Stesen Permukaan Tembat (15MW) sebelum memasuki Tasik Puah. Air
dari Tasik Puah pula akan disalurkan ke Stesen Bawah Tanah Puah
(250MW). Selepas penjanaan, air ini akan disalurkan melalui terowong
aliran keluar ke Tasik Kenyir. “Lokasi
pembinaan empangan-empangan tersebut dipilih untuk mengelakkan
pembinaan empangan pelana (saddle dam) dan oleh itu segala pelepasan
air adalah melalui Empangan Puah dan Empangan Tembat di mana air
pelepasan akan mengalir di aliran asal Sg. Terengganu dan Sg. Tembat
dan seterusnya mengalir masuk ke Tasik Kenyir.
“Adalah
mustahil untuk air pelepasan daripada kedua-dua empangan ini untuk
merintasi banjaran gunung untuk memasuki Negeri Kelantan. Tiada
pelepasan dari Tasik Puah dan perkara ini mustahil untuk dilaksanakan
memandang paras air di Tasik Puah setakat 1 Januari 2015 masih di bawah
paras pelepasan melalui pintu limpahan empangan,” ujarnya. TNB
menafikan dakwaan yang mengatakan projek itu dilaksanakan secara
rahsia kerana ia dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada
Suruhanjaya Tenaga dan Kerajaan Negeri Terengganu.
Malah,
katanya, upacara perasmian penakungan Tasik Puah telah dilaksanakan
oleh Timbalan Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, Datuk Seri
Mahdzir Khalid pada 1 Oktober 2014 dan upacara perasmian ini telah
disiarkan di media massa.TNB sekali
lagi menegaskan bahawa projek berkenaan tiada kaitan dengan peristiwa
banjir di Negeri Kelantan, malah ia telah berkesan di dalam usaha
penebatan banjir dengan mengurangkan kemasukan air ke Tasik Kenyir.
No comments:
Post a Comment