cityaku

Wednesday, 3 December 2014

Tempat Lahir

Aku dilahirkan pada tanggal 4 Julai 1978 di Hospital Besar Ipoh. Tempat tinggal keluargaku pada masa itu adalah di Kampong Tasek, Ipoh. Di situlah aku dibesarkan sehingga umurku 13 tahun sebelum keluargaku berpindah ke rumah sendiri di Kampong Tersusun Klebang Selatan di Chemor. Di sini aku akan ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang Kampong Tasek. Tasek atau Kampong Tasek terletak di utara bandar raya Ipoh, Perak. Kedudukan Tasek adalah berhampiran dengan Kampong Tawas, Bercham dan Tambun. Kebanyakan penduduknya bekerja di Kawasan perindustrian Tasek. Zon industri ini telah lama diwujudkan sama seperti Sungai Way di Petaling Jaya dan Bayan Lepas di Pulau Pinang.




Pengguna Lebuh raya Utara Selatan pasti dapat melihat kilang simen yang terletak di Kawasan Perindustrian Tasek. Kilang simen ini menggunakan batu kapur dari bukit bersebelahan sebagai bahan asas dan telah dibina pada tahun 1962 lagi. Terdapat landasan kereta api dari kilang ini untuk mengangkut simen di utara dan selatan tanahair. Pagar landasan kereta api dari kilang Tasek Cement menghalang kelancaran pengangkutan. Oleh itu sebuah jambatan telah dibina bagi memudahkan pengangkutan jalan raya tanpa mengganggu laluan kereta api. Disebabkan kedudukan kampong ini berdekatan dengan kawasan perindustrian, Indeks Pencemaran Udara (IPU) sering dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar semasa jerebu melanda negara dan kampong ini pernah mencapai IPU tidak sihat.

Kilang Tasek Cement

Jalan Raya

Jalan raya utama antara Ipoh ke Kuala Kangsar menjadi nadi utama sistem pengangkutan. Jalan itu dikenali sebagai Jalan Sultan Azlan Shah Utara. Simpang tiga ke Bercham dan ke Tambun selalu berlaku kemalangan jalan raya.Kampung Tawas diduduki ramai orang Cina. Sebaliknya Kampung Tasek merupakan petempatan orang Melayu. Sekolah Kebangsaan Tasek, Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek dan masjid telah dibina bagi memudahkan orang ramai.
 Sekolah Kebangsaan Tasek, Ipoh.

Kemudahan

Kini terdapat pelbagai kemudahan berhampiran yang boleh didapati di sekitar kampong ini. Disebabkan kedudukannya yang strategik itu, terdapat berbagai tempat membeli belah seperti Giant,Tesco, Tesco Extra, Aeon Kinta City tumbuh seperti hujan. Selain itu, terdapat juga tempat rekreasi yang menjadi tumpuan iaitu di Gunung Lang dan juga Masjid Muhammadiah (Masjid Cina). Berhadapan dengan masjid ini, terdapat sebuah Medan Selera Tasek berhampiran dengan Taman Tasek Jaya dan Taman Tasek Damai. Ramai pekerja kilang dari kawasan kilng berdekatan bertumpu di sini pada waktu tengah hari dan malam.

Aeon Kinta City Mall

Gunung Lang

Masjid Muhammadiah (Masjid Cina)








No comments:

Post a Comment