cityaku

Wednesday, 3 December 2014

Ipoh

Ipoh, Bandar Bijih Timah

Suatu ketika dahulu, Ipoh dikenali sebagai ‘Bandaraya Bijih Timah Negara’ disebabkan oleh aktiviti perlombongan disini suatu ketika dahulu. Bandaraya Ipoh hari ini merupakan sebuah bandaraya yang diiktiraf sebagai ibu negeri Perak kerana di sinilah pusat bagi perkhidmatan, pentadbiran,perdagangan dan perindustrian dijalankan. Jika dilihat dari segi sejarah, bandaraya Ipoh mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Secara geografinya, bandaraya Ipoh terbahagi dua oleh Sungai Kinta dan dikenali sebagai pekan lama dan pekan baru.

Sejarah perkembangan bandar Ipoh bermula di pekan lama ketika era perlombongan bijih timah. Ketika pemerintahan Raja Melayu, Ipoh hanyalah sebuah perkampungan yang kecil. Perubahannya hanya mula berlaku ketika pemerintahan kerajaan Inggeris kira-kira tahun 1877. Sejak itu, ia mula bertukar menjadi bandar dan menjadi tumpuan umum terutama sekali kaum Cina yangdatang dari Pulau Pinang untuk mencuba nasib di Perak. Banyak rumah kedai mula dibina dan bandar Ipoh menjadi semakin membangun.Pada tahun 1890, bandar Ipoh mula menjadi bandar kedua terbesar di Perak selepas Taiping. Kebangkitan bandar Ipoh ini dapat dilihat dengan terbinanya rumah kelab, panggung wayang Cina dan pasar yang besar. Pada tahun 1892, bandar Ipoh talah mengalami kebakaran besar dan telah memusnahkan hampir satu pertiga daripada rumah-rumah yang ada di sini.Namun begitu, pada tahun 1893, kemusnahan itu telah dibaiki dengan terbinanya banyak rumah batu yang lebih baik sebagaimana yang dapat dilihat dengan jelas kini. Pembinaan rumah kedai turut bertambah dengan pesatnya kesan daripada pembinaan jalan keretapi Lembah Kinta di antara Ipoh dan Batu Gajah yang digunakan untuk membantu industri perlombongan dan perniagaan berjalan dengan lebih lancar.
 

Disebabkan kebanyakan aktiviti perdagangan dan perniagaan berlaku di sebelah barat Sungai Kinta, maka kawasan berkenaan telah di rizabkan sebagai kawasan bangunan pentadbiran dan institusi oleh kerajaan Inggeris dan kebanyakan kesan peninggalan bangunan warisan masih dapat dilihat dengan jelas di sekitar kawasan ini.
 

Bandaraya Ipoh
Ipoh pada mulanya hanyalah menjadi tumpuan tempat persinggahan dan perniagaan terpenting bagi daerah-daerah sekitarnya. Sehingga tahun 1980-an, Sungai Kinta menjadi perhubungan utama di antara Ipoh dengan kawasan-kawasan lain dalam atau luar negeri Perak. Selepas tahun 1874, perkembangan daerah Kinta amat lembab terutama masalah perhubungan melalui Sungai Kinta. Kenderaan seperti sampan, gajah dan kereta lembu memakan masa yang lama. Dalam tahun 1884, jalan raya wujud menghubungi kawasan perkampungan Gopeng dan pelabuhannya di Kota Bharu dan seterusnya menghubungkan kawasan perlombongan Papan dengan Batu Gajah. Ipoh telah menjadi bandar yang terbesar di negeri Perak dan kedua besarnya di Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1895. Pada masa itu juga perhubungan jalanraya antara Ipoh dengan tempat-tempat lain di lembah Kinta diperbaiki. Jambatan kayu menyeberangi sungai Kinta diganti dengan jambatan besi pada tahun 1900.

Di antara tahun 1905-1914, kawasan pentadbiran bandar Ipoh berkembang hingga menyeberangi sungai kinta dan di sini wujudnya pekan baru (Ipoh New Town) ke jalan Anderson. Stesen keretapi, hotel, dewan bandaran (town hall), dan pejabat pos juga dibina. Begitu juga panggung wayang dan kenderaan bermotor telah mula mengambil tempat di Ipoh.
Pada 27 Mei 1988, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan telah mengishtiharkan taraf Bandaraya kepada Ipoh, Ibu negeri Perak Darul Ridzuan. Majlis Perbandaran Ipoh dikenali sebagai 'Majlis Bandaraya Ipoh' dan ketua eksekutifnya bergelar Datuk Bandar. Sebagai Ibu negeri Perak Darul Ridzuan, Ipoh merupakan pusat pentadbiran, perdagangan, sukan, kebudayaan, kewangan, politik, keagamaan dan juga pendidikan. Kini di bawah pimpinan Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Ipoh terus berusaha untuk menjadikan Bandaraya Ipoh sebagai sebuah bandar yang dinamik dan unggul.

Nama Ipoh
 
Nama "Ipoh" diambil daripada pohon "epu" atau lebih dikenali sebagai "pokok Ipoh" dengan getahnya yang beracun dan digunakan oleh Orang Asli untuk panahan sumpitan mereka. Ipoh mendapat status bandar raya pada 27 May 1988, oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah. Ia terbahagi dua oleh Sungai Kinta kepada Bandar Baru Ipoh dan Bandar Lama Ipoh. Kini, "Ipoh" telah berada di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh atau Dewan Bandaraya Ipoh, di mana ia telah pun menyerap masuk pekan-pekan kecil yang berada disekitar bandar seperti Chemor, Jelapang, Falim, Menglembu, Tambun dan Tanjung Rambutan ke dalam wilayah Bandaraya Ipoh.



 Pokok Ipoh

Populasi Penduduk

Majoriti penduduk di Ipoh adalah terdiri daripada kaum Cina. Dialek Cina Kantonis adalah bahasa pengantar orang-orang Cina di sini walaupun terdiri daripada kebanyakan kumpulan dialek Cina Hakka, dan Cina Kantonis. Kebanyakan penduduk di Ipoh bertumpu di Menglembu, Buntong, Tasek, Ampang, Bercham serta Pasir Puteh menjadikan keluasan bandaraya Ipoh menjadi semakin besar jika diambil kira pekan-pekan yang terdapat di sekitar pinggir Bandaraya Ipoh. Sehingga kini, Ipoh menjadi bandaraya keempat terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur, George Town dan Johor Bahru disebabkan kepesatan pembangunan di bandar-bandar tersebut.


Destinasi Pelancongan

Lost World of Tambun
Merupakan tarikan dari Sunway City Ipoh yang terletak di Tambun, Lost World of Tambun adalah antara taman tema air di Perak.Ia akan membawa anda ke pengembaraan yang penuh dengan keseronokan bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.Terletak di antara kawasan rimbunan kehijauan dan batu kapur, Lost World of Tambun menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik sehingga membuatkan anda ingin datang kembali.


 Lost World Of Tambun

Muzium Darul Ridzuan
Muzium ini terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh yang berhampiran dengan Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.Telah dibuka pada tahun 1992 dan bangunan muzium telah dibina lebih dari 100 tahun yang lalu.Ia memaparkan pelbagai jenis artifak menarik yang berkaitan dengan sejarah dan pembangunan bandar Ipoh terutamanya dalam sektor perlombongan bijih timah.


Muzium Darul Ridzuan

Tokong Gua
Sepanjang Jalan Gopeng, kelihatan banyak tokong-tokong gua yang merupakan kebangaan Ipoh. Nam Tin Tong, Koon Yam Tong, Sam Poh Tong, Ling Sen Tong merupakan antara tokong-tokong ternama di situ. Dinding gua dihiasi dengan pelbagai lukisan dan kaligrafi Cina yang berunsurkan agama Tao dan Buddha. Do Jalan Kuala Kangsar pula tokong gua yang paling popular adalah Perak Tong.

Tokong Paloh Ku Miew
Paloh Ku Miew ialah tokong tertua di Ipoh, yang menyembah Tai Pak Koong, dewa tempatan yang melindungi kaum Cina apabila mereka mula-mula menetap di Ipoh. Antara penyumbang utama kepada tokong ini ialah Yau Tet Shin, seorang pelombong yang sangat terkenal pada masa itu. Tokong ini dapat dilihat daripada jambatan Hugh Low Street (Jalan Sultan Iskandar) yang memisahkan pekan baru dengan pekan lama Ipoh.

Masjid Panglima Kinta
Masjid ini dibina oleh Dato Panglima Kinta. Masjid ini terletak di pekan baru Ipoh. Masjid ini juga dijadikan sebagai Masjid Negeri bagi umat Islam bersembahyang dan melakukan Ibadah. Masjid ini terletak di jalan yang sama dengan kedai keranda.


 Masjid Panglima Kinta

Taman Dr Seenivasagam
Taman yang terletak di tengah bandar Ipoh ini merupakan salah satu taman yang lama dibina di Ipoh , sesuai untuk pengunjung melepaskan lelah dan beriadah kerana taman ini mempunyai trek motorsikal mini, kolam ikan, tasik serta padang yang agak luas. Taman ini jugak mempunyai replika taman diluar negara, iaitu Taman Jepun yang hanya terletak bersebelahan dengan pintu masuk utamanya.


 Taman Dr Seenivasagam

Bandaraya Ipoh
Struktur bangunan yang terdapat di bandaraya Ipoh sangat Unik dan bersejarah, banyak bangunan lama yang di cantikkan dan berwarna warni menjadikan Ipoh sangat terkenal dgn bangunan bersejarah yg cantik. Pada masa sekarang MBI dalam usaha membaik pulih semua bangunan lama untuk cantikkan dan jadikan sebagai tarikan pelancong.
Bandaraya Ipoh
Kinta Riverfront
Destinasi baru yang menarik di Ipoh. di Kinta Riverfront terdapat sebuah hotel baru. Pemandangan menarik di sini adalah sekitar Sungai Kinta yang dihiasi dengan Lampu LED sepanjang sungai kinta dihadapan hotel Kinta riverfront menjadikannya jolokan I-city Ipoh. Selain itu, Jambatan2 terkenal diseluruh dunia dibina dalam saiz mini disepanjang sungai kinta ini menjadikan ianya sangat menarik sebangai destinasi bergambar. Ianya satu destinasi baru bagi ipoh dan pembinaannya masih belum siap sepenuhnya.

 
 Kinta Riverfront, Ipoh.





No comments:

Post a Comment